Bulletin

Published every 2 months.

Buletin SWAM Januari 2010

PERSATUAN PENULIS SKRIN MALAYSIA ● SCREENWRITERS GUILD OF MALAYSIA (SWAM) ● DITUBUHKAN 1996 ● NO. PENDAFTARAN 2401/96 WP ● SEKRETARIAT SWAM, KOMPLEKS STUDIO MERDEKA, LOT 1662 JALAN HULU KELANG, 68000 AMPANG, SELANGOR D.E. ● TEL. 0129892556 (S/U Kerja) ● UNTUK AHLI SAHAJA ● E-mel swambulletin@gmail.com ● Web https://swammalaysia.wordpress.com. PERCUMA. SWAM atau pegawainya tidak bertanggungjawab atas masalah yang mungkin timbul berikutan penerbitan ini. Kandungan tidak semestinya pandangan rasmi SWAM. Jika ada kemusykilan, hubungi Editor SWAM 0192385577.

————————————————————————————————————————————————–

Jawatankuasa SWAM 2009-2010 1. Encik Ismail Ahmad, Presiden (0123892556) 2. Datuk Hj Mohd. Shariff Hj Ahmad, Timbalan Presiden (0192385577) 3. Puan Sujiah Salleh, Setiausaha Kehormat (0192605455) 4. Encik Zainal Hayat, Penolong Setiausaha Kehormat (0126517095) 5. Encik Mohd. Shaari Abdul Wahab, Bendahari Kehormat (0172290911) 6. Cik Norrasidah Ismail, Penolong Bendahari Kehormat (0192559196) 7. Puan Asmira Suhadis (0126463240) 8. Encik Abd. Rahim Hashim (0163220998) 9. Encik Jaafar Samson (0146433277) 10. Encik M. Yusoff Mohamed (0162344545) 11. Tuan Hj. Mohd. Wazata Md Zin (0123958737) 12. Puan Zalina Nordin (0124123395)

Setiausaha Kerja Encik Ikram Hakimi Ismail (0129892556)

Pemeriksa Kira-kira 1. Tuan Haji Shafril Sanusi (0133980700) 2. Encik Zainudin Mat Jani (0126660468)

Presiden-Presiden Terdahulu 1.  Abdul Wahid Nasir 1996-2002 2. Datin Rosnani Jamil 2002-2005 3. Dato’ Salleh Pateh Akhir 2005-2006 4. Datuk Yusof Haslam 2007-2009

“swam adalah sebuah pertubuhan bebas bukan politik dan bukan perniagaan yang bergerak secara sukarela untuk membangunkan kerjaya penulisan skrip dan kebajikan ahli berpandukan kuasa perlembagaannya dan keputusan mesyuarat agung ahli-ahli.” perkhidmatan swam: perundingan penulisan skrip ● kursus penulisan skrip ● ceramah ● buletin swam (setiap 2 bulan) ● pendaftaran karya ● pusat sumber & pangkalan data ● penyelaras kebajikan ahli ● khidmat nasihat ● penyuntingan skrip ● pertandingan penulisan skrip

swam mengucapkan selamat tahun baru 2010 kepada semua ahli.

semoga anda berjaya cemerlang!

Renungan

Bila perang meletus, korban pertama ialah kebenaran.

Dear God: I have a problem. It’s me.

Memasuki Tahun 2010

Pada tahun 2010 ini Persatuan kita berumur 14 tahun. Dalam tempoh itu pelbagai jenis cabaran telah dilaluinya, daripada kejayaan dan karenah pelbagai pihak / individu, kepada pelbagai sikap prihatin ataupun kurang baik pihak produser dan eksekutif stesen TV berhubung kadar imbuhan dan terma kontrak dengan penulis skrip, kepada karenah atau sikap acuh tak acuh sesetengah pegawai kerajaan bila berurusan dengan Persatuan, hinggalah kepada sikap optimis ataupun sebaliknya di kalangan AJK dan ahli-ahli dalam pengurusan hal ehwal Persatuan. Bila diajukan soalan “apakah pencapaian SWAM yang terserlah setelah 14 tahun?”, ada ahli yang berkata “Tak nampak apa-apa yang boleh dibanggakan!” Tinjauan pendapat sebahagian ahli lain mengatakan “ada usaha tapi tidak terserlah, pencapaian SWAM sepatutnya lebih baik, lebih memberangsangkan.” Malah pengurusan SWAM dikatakan perlu lebih telus dan bebas daripada amalan kepentingan peribadi. Tetapi butiran khusus “kepentingan peribadi” ini tidak dinyatakan. Aktiviti SWAM yang kelihatan ialah mengelolakan kursus-kursus penulisan. Ini memang baik, lebih-lebih lagi bila dikelolakan secara kerjasama dengan FINAS dan ada bajet yang disediakan oleh kerajaan.

Aktiviti menemukan penulis dengan produser dan eksekutif stesen TV boleh dikatakan belum mencukupi. Aktiviti ini dipanggil pitching santai – ia satu peluang terbaik penulis menjual karya terus kepada produser.

Soal penggunaan istilah OLAHAN SKRIP dalam kredit filem atau telefilem, yang mengelirukan dan tidak disetujui SWAM, nampaknya semacam telah reda, telah difahami produser. Ini baik untuk penulis dan untuk semua.

Bagaimanapun soal penggunaan kontrak yang standard di kalangan ahli / penulis bila berurusan dengan produser, masih belum memuaskan. Ini ada kaitan dengan kekuatan “kuasa rundingan” Persatuan dengan produser. Kuasa rundingan ini boleh menjadi lebih kuat bila lebih ramai penulis mendaftar menjadi ahli SWAM, semua bersatu suara, bersatu hati menjaga kepentingan penulis. Kuasa rundingan ini juga menjadi kuat jika kerjasama serta persefahaman SWAM dengan persatuan-persatuan lain lebih erat.

Menyentuh tentang kontrak standard, soal royalti juga timbul. Keadaan sekarang masih tidak berubah – begitu berleluasa kontrak outright sales bagi karya cipta seniman-karyawan sehingga mereka tidak dapat mengecapi nikmat residual income bila karya berkenaan dieksploitasi berterusan oleh pengusaha. Stesen TV melakukannya kepada produser, produser melakukannya kepada penulis skrip dan karyawan lain.

Daripada sudut kekuatan Persatuan, Presiden dan AJK SWAM menghadapi cabaran mengadakan aktiviti yang benar-benar memberi faedah kepada ahli – satu contoh terbaik ialah menemukan penulis dengan produser dalam majlis tidak formal supaya penulis boleh pitch karya masing-masing secara santai. Ahli juga disaran hubungi SWAM bila sahaja timbul keperluan atau ada cadangan. Ini membantu AJK untuk bantu ahli. Berkhidmat untuk Persatuan adalah kerja sukarela – tiada sesiapa boleh arah itu ini sesama rakan. Kalau ada seorang dua AJK SWAM tidak layan ahli, ahli boleh buat aduan atau soal bila tiba mesyuarat agung; dan buat pilihan sendiri. Maklum balas atau aduan tidak puas hati, jika ada, amat bermakna dan penting bagi Persatuan ini untuk maju ke hadapan. Biarlah semua barisan AJK terdiri daripada mereka yang tidak gunakan Persatuan untuk kepentingan peribadi.

Di segi amalan industri, masih terdapat penulis skrip ahli SWAM yang tidak mendapat layanan adil daripada produser. Contohnya, seorang penulis skrip ahli SWAM diketahui hanya mendapat kredit SUSUNAN SKRIP dalam sebuah telemovie, sementara kredit SKRIP diperolehi oleh pengarah telemovie – sedangkan skrip ditulis oleh ahli SWAM berkenaan. Apa makna SUSUNAN SKRIP? Macam susunan kuih bakar dalam talamkah? Istilah ini mengelirukan. Sepatutnya ahli SWAM itu mendapat kredit bagi SKRIP atau PENULIS atau PENULIS SKRIP – barulah jelas! Tapi ahli berkenaan tidak membuat aduan rasmi, jadi Persatuan tidak dapat ketengahkan kepada produser dan kepada stesen TV berkenaan. ◊

Kursus 2010

Berikut disenaraikan kursus yang dirancang bagi 2010; bagaimanapun senarai ini tertakluk kepada perubahan

(1)     6, 7, 13, 14, 20 Mac – Kursus Penulisan Skrip Drama TV Bersiri [30 peserta]

(2)     10, 11, 17, 18, 25 Apr – Kursus Penulisan Skrip Dokumentari [30 peserta]

(3)     15, 16, 22, 23, 30 Mei – Kursus Penulisan Skrip Animasi [30 peserta]

(4)     26, 27 Jun, 3, 4, 11 Jul – Kursus Pengarahan Filem [25 peserta]

(5)     9, 10, 16, 17, 24 Okt – Kursus Penulisan Skrip Drama TV Bersiri [30 peserta]

(6)     13, 14, 20, 21, 28 Nov – Kursus Lakonan [30 peserta]

Ahli boleh memaklumkan SWAM jika ada cadangan kursus yang berkesan, ada impak dan ada faedah kepada ahli (ceramah atau syarahan 2 jam diikuti soal-jawab juga dialu-alukan). Jika baik cadangan berkenaan, SWAM akan cuba laksanakan dengan mengambilkira kedudukan kewangan sedia ada. Kalau ada penaja, lebih baik peluang untuk dilaksanakan. ◊

Pertemuan Dengan GAPENA

Melalui inisiatif FDAM, pada 29/10/09 wakil-wakil FDAM, SWAM, PTVM dan PPFM berpeluang bertemu secara santai dengan wakil-wakil GAPENA. Untuk makluman ahli, GAPENA adalah badan gabungan bagi pelbagai persatuan atau gerakan yang berkaitan dengan bidang penulisan tanahair. Bila disentuh bidang penulisan, maka aspek bahasa dan budaya turut menjadi hal-hal utama bagi kegiatan dan perjuangan GAPENA. Kini GAPENA sudah berumur 40 tahun; kedudukan kewangannya juga baik. Pendekatan kegiatannya sekarang bersifat global – iaitu konteks pemahaman kebudayaan dan bahasa Melayu adalah di landasan global, bukan lagi terhad di dalam lingkungan Nusantara sahaja. GAPENA difahamkan pernah dipinggirkan daripada arus perdana gerakan pembangunan bahasa Melayu disebabkan salah sangka pihak berkuasa tertentu berhubung pendirian beberapa orang tokoh GAPENA yang dipersepsikan sebagai melawan arus atau tak sehaluan dengan pihak berkuasa; sedangkan hakikatnya tokoh-tokoh berkenaan adalah pemikir-intelektual yang berani menzahirkan perbezaan pendapat berhubung cara memartabatkan bahasa kebangsaan. Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Ismail Hussein, mengakui sebelum ini GAPENA tidak melibatkan rakan-rakan dari industri filem dalam perjuangannya. Dengan pertemuan ini, satu perhubungan baru diharapkan dapat dimulakan. Rakan-rakan dalam industri perfileman memiliki beberapa kelebihan di segi pengaruh ke atas orang ramai dan media massa yang boleh mendatangkan manfaat.

Dalam pertemuan itu, Tim. Presiden SWAM menyatakan pendirian bahawa industri filem, TV dan seumpamanya semua bermula dengan idea atau cerita yang ditulis oleh penulis – sebab itulah cogan kata “industri skrin bermula di sini’ digunakan Persatuan. Beliau berkata, persatuan-persatuan perfileman perlu bersatu untuk menjadi kuat – dengan itu kuasa perundingan boleh memihak kepada persatuan. Berhubung penggunaan bahasa kebangsaan secara bertanggungjawab di negara ini, wakil SWAM berpendapat GAPENA hendaklah menegur dan terus menegur mereka yang tersilap langkah. Di akhir pertemuan, semua wakil bersetuju mengenai idea diwujudkan satu gerakan bagi tujuan memartabatkan bahasa kebangsaan negara Malaysia. ◊

Mesyuarat JK SWAM

21/11/2009: Mesyuarat JK SWAM di FINAS, 6.00 ptg – 8.00 mlm. Perkara yang dibincangkan antara lain – (a) aktiviti sepanjang 2009 (b) laporan kewangan Oktober 2009 (c) pelantikan Puan Sujiah Salleh untuk memangku jawatan S/U Kehormat yang dikosongkan Datin Rusila (d) pelantikan Encik Jaafar Samson dan Puan Zalina Nordin menggantikan tempat AJK-AJK Encik Rohizan dan Puan Sujiah (e) laporan Kursus Kepimpinan NGO Kebudayaan (f) laporan Seminar Harta Intelek MyIPO (g) laporan kejayaan ahli SWAM dalam pertandingan menulis skrip 2008 FINAS (h) laporan mesyuarat garis panduan LPF (i) membuka akaun baru bank (kerana perkhidmatan daripada bank CIMB Kelana Jaya tidak memuaskan) (j) Tim. Presiden serahkan dokumen dan wang daripada mantan S/U Kehormat kepada Bendahari dan S/U Kerja (k) cadangan kursus penulisan skrip filem pendek pada 20 Disember 2009 (l) cadangan kursus menulis skrip radio (m) cadangan aktiviti Jom Mesra (pitching santai) awal 2010 diterajui oleh Encik Jaafar Samson dan Puan Zalina Nordin.

12/12/2009: 3.00 ptg – 6.00 ptg, FINAS. JK SWAM antara lain membincangkan perkara berikut – (a) portfolio bagi AJK (b) penangguhan cadangan membuka akaun simpanan tetap (c) penyata akaun bank diputuskan mengguna alamat rasmi Persatuan (d) laporan aktiviti SWAM 2009 kepada FINAS bagi tujuan permohonan bantuan (e) penggunaan resit sementara oleh Sekretariat (f) cadangan pinda Perlembagaan bagi membolehkan 2 pegawai sahaja sudah memadai untuk t/tangan cek (g) penyediaan laporan 2009 oleh AJK bagi tujuan mesyuarat tahunan Persatuan (h) cadangan makan t/hari atau makan malam dgn ketua-ketua agensi kerajaan (i) menyediakan persembahan PowerPoint bagi pertemuan dgn MyIPO (j) memelihara imej Sekretariat SWAM.

9/1/2010: 3.00 ptg – 6.00 ptg, FINAS. JK SWAM antara lain membincangkan – (a) penggunaan kredit “Lakon TV dan Pengarahan” yg sepatutnya diasingkan (b) kenyataan hasrat Encik Zainal Hayat dan Puan Asmira utk melatih kemahiran penulisan kpd pelajar Sek. Men. Teluk Panglima Garang, Selangor (c) pengelolaan Jom Mesra pada Februari 2010 (d) penyata bank bagi kemasukan cek RM2,000 sumbangan drp Encik David Teo/MIG (e) Tim. Presiden menawar mengedarkan sendiri Buletin SWAM buat sementara waktu (f) menterjemahkan dokumen Minimum Basic Agreement SWAM ke dalam bahasa Kebangsaan (g) kewajipan AJK dan pegawai SWAM menjaga perlakuan dan kenyataan demi imej Persatuan (h) butiran isu dan keputusan mesyuarat perlu jelas (i) keputusan dan tindakan SWAM perlu selaras dgn Perlembagaan SWAM. ◊

Ahli Baru

Pada 15/8/2009, JK SWAM telah meluluskan keahlian Jayakanthan R. Perumal, dari Puchong, No. Ahli 253.09A.

Pada 10/10/2009, JK SWAM telah meluluskan keahlian Zalina Nordin, dari Ampang, No. Ahli 254.09A; Salbiah bt. Ahmad Ijazi, dari Petaling Jaya, No. Ahli 255.09A; Sharina bt. Hassan, dari Johor Bahru, No. Ahli 256.09A; Aidil Fakhirin Sharizaq Razak, dari Setiawan, No. Ahli 257.09A.

Pada 9/1/10, JK SWAM telah meluluskan keahlian AHMAD KAMAL B. KAMARUL BAHARIN, dari Kuala Lumpur, No. Ahli 258.10A.

Buletin SWAM mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baru ini untuk bersama memajukan diri sendiri dan membangunkan kerjaya penulisan skrip di Malaysia. ◊

Tahniah Ahli SWAM Memenangi Hadiah Pertandingan Penulisan Skrip!

Buletin SWAM merakamkan tahniah kepada ahli-ahli berikut kerana kejayaan mereka di dalam Pertandingan Menulis Skrip anjuran FINAS tahun 2008 – Puan Asmira Suhadis (Hadiah Pertama, tajuk KARAM), Mejar Zainal Hayat (Hadiah Kedua, tajuk NGELABAN), Encik Mohd. Salleh Deran (Hadiah Sagu Hati, tajuk KONYU) dan Encik Jamil Hashim (Hadiah Ketiga, Dokumentari, tajuk ROTI, ROTI, ROTI BENGGALI). Ini diumumkan oleh Tuan Haji Wazata Zain di Mesyuarat JK SWAM pada 21 Nov 2009. ◊

Serahkan Sinopsis Sahaja

Ahli-ahli dinasihatkan hanya menyerahkan sinopsis (dan log-line atau single line idea) sahaja bila diminta oleh pihak produser yang belum dikenali latar belakangnya. Ini sebagai langkah berjaga-jaga, mengelakkan daripada karya skrip diciplak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Skrip lengkap sepatutnya hanya diserahkan kepada produser yang dipercayai dan sudah pernah berurusan baik dengan penulis. Di negara ini khidmat agen skrip belum berkembang. Di negara AS dan di benua Eropah, agen skrip yang mengikat perjanjian dengan penulis lazimnya memegang skrip selama 1 tahun untuk mendapatkan produser. Jika tiada jualan, skrip dikembalikan kepada penulis. Ahli SWAM yang biasa menjual skrip terus kepada produser juga hendaklah membiasakan diri menyimpan rekod bertulis penyerahan / penerimaan skrip pada setiap kali urusan dengan pihak produser/studio/stesen TV. ◊

Pendaftaran Karya

Karya terbaru didaftarkan pada Persatuan: DI SANTUBONG, Filem Cereka Pawagam, Drama Aksi Kontemporari-Klasik, 110 min, dan DI SERAMBI SILAM, Filem Cereka Pawagam, Drama Kontemporari, 99 min; kedua-dua karya milik Kamal Kamarul Baharin h/p 0192393587, akbaharin@yahoo.com. Sedia untuk dibeli sesiapa yang berminat. ◊

Pelancaran Telemovie

Telemovie berjudul DELTA TWO BAR di bawah slot Cerekarama arahan Mejar Zainal Hayat (juga Pen. S/U Kehormat SWAM) dilancarkan pada 19/1/2010, 2.30 ptg di Hospital ATM, Seksyen 2, Wangsa Maju, KL. ◊

Penulis Skrip Komedi Dikehendaki!

Mana-mana ahli yang berkebolehan menulis skrip komedi untuk TV diminta mengemukakan nama, no. telefon bimbit dan e-mel kepada Editor Buletin SWAM. Ada produser berminat untuk menghubungi anda. Rebut peluang ini segera. ◊

Seminar Harta Intelek, 11-13 Nov 2009

Seminar nasional anjuran MyIPO dengan kerjasama WIPO, KPDNKK dan FDAM ini berlangsung di Hotel Royale Bintang, KL. Pengisian seminar amat bererti dengan kehadiran pakar-pakar daripada WIPO (Switzerland), Britain, Thailand, Australia, Malaysia dan tentunya penggiat industri filem dan TV serta penggiat lain. Sekurang-kurangnya 15 orang ahli SWAM turut mengikuti seminar 3 hari ini. Penerangan dan pandangan yang disampaikan telah memberi kesedaran berguna kepada peserta.

Ramai orang tidak mengetahui bahawa WIPO bergerak atas desakan negara-negara ahli; ia tidak bergerak sendirian. Negara ahli perlu membawa isu berhubung harta intelek atau hak cipta kepada WIPO untuk tujuan mendapatkan konsensus di konvensyen. WIPO juga memberi khidmat penerangan berhubung beberapa “treaty” dan konvensyen yang menetapkan persetujuan-persetujuan, prinsip-prinsip yang digunapakai, kaedah pelaksanaan dan sebagainya. Ketetapan-ketetapan ini boleh digunakan oleh negara ahli untuk dijadikan undang-undang di negara masing-masing.

Berhubung isu bayaran royalti kepada penulis skrin, performers (actors), pengarah dan sebagainya bagi karya filem sinematograf, didapati belum ada persetujuan-persetujuan yang dicapai secara konsensus walaupun secara rasminya isu ini telah diiktiraf penting oleh negara-negara ahli.

Datuk Shariff telah membentangkan pandangannya berhubung satu pendekatan membangunkan sektor animasi Malaysia melalui kerjasama strategik kerajaan Malaysia dengan rangkaian penyiar TV antarabangsa, pada sesi terakhir Seminar “The Way Forward”.  ◊

Ahli SWAM Dilantik Ahli Lembaga Penapisan Filem

Berita kejayaan ahli! Berikutan beberapa permohonan yang dikemukakan kepada KDN, Encik Jaafar Samson (AJK baru) dari Shah Alam telah dilantik sebagai ahli Lembaga Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri, bagi tahun 2010. Beliau mula bertugas Januari 2010 ini. Selain itu Presiden SWAM, Encik Ismail Ahmad dari Damansara Damai,  telah dilantik sebagai ahli LPF (ahli bersekutu), juga bagi tahun 2010. Ini satu pengiktirafan kepada ahli SWAM berkenaan khususnya dan kepada karyawan perfileman amnya. TAHNIAH kepada mereka berdua! ◊

Cadangkan Nama Ahli Yang Berwibawa

Barangkali ramai ahli sudahpun tahu bahawa Persatuan kita sudahpun ada beberapa nama besar dalam bidang penulisan skrip. Namun demikian, sebahagian daripada mereka ini belum atau jarang berpeluang menyumbang khidmat penilaian skrip ataupun dipanggil untuk membicarakan aspek-aspek penulisan dalam forum atau ceramah anjuran SWAM. Di samping mereka ini, ada juga ahli yang sedang membina nama atau kerjaya sendiri mengikut cara masing-masing – ada yang bertungkus lumus, ada yang tenang sahaja, dan ada juga yang macam orang malas! Buletin SWAM ingin mendapat maklumat atau cadangan daripada ahli tentang mana-mana individu yang diketahui berwibawa dalam bidang penulisan – sama ada ahli ataupun bukan ahli. Mana-mana ahli SWAM boleh menghantar SMS kepada telefon bimbit Tim. Presiden 0192385577 dengan hanya menulis nama individu (dan no. handset, jika ada) yang difikirkan layak disenaraikan sebagai “seorang yang ada integriti dan berwibawa membicarakan atau membuat perundingan berhubung penulisan skrin.” Ini adalah untuk kebaikan dan faedah ahli juga. ◊

Festival Filem Pelajar Ke-7

SWAM menerima undangan Festival Filem Pelajar Ke-7 ke majlis perasmian 16/1/2010 di Kangar, Perlis. Difahamkan pengelola berupaya menguruskan festival dengan baik. Bagaimanapun SWAM tidak memperuntukkan apa-apa biaya bagi wakil menghadirinya. ◊

Daftarlah Karya Anda Untuk Perlindungan

Ahli-ahli dinasihatkan supaya mendaftarkan karya masing-masing pada Persatuan (SWAM) untuk tujuan perlindungan hak cipta harta intelek masing-masing. Jika ditakdirkan berlaku pelanggaran hak cipta, ahli boleh membuktikan kepada mahkamah bahawa harta intelek / karya berkenaan adalah milik anda dan andalah pemegang hak ciptanya. Dengan hanya RM10.00 satu karya, anda akan mendapat sijil pengesahan pendaftaran daripada Persatuan. Ahli hanya perlu isi borang berkenaan dengan butiran karya – tidak perlu karya penuh – dan kemukakan kepada Persatuan iaitu SWAM. Satu sijil akan dikeluarkan kepada ahli untuk simpanan. Bagi bukan ahli, bayarannya ialah RM50.00 per karya. Cara yang dibuat oleh SWAM ini mendapat sokongan daripada MyIPO. ◊

Petua Menulis

Ini ada sedikit panduan untuk menjadi penulis berjaya. Pakar-pakar penulisan amnya sependapat seseorang penulis sewajarnya ada 5 bekalan berikut – (1) Ilmu (2) Minat (3) Kesungguhan (4) Kebolehan Menulis (5) Kesabaran. Sungguhpun 5 bekalan ini penting, difahamkan Ilmu dan Minat dianggap lebih penting di antara kelima-limanya. Mengenai ilmu, penulis perlu ada pengetahuan am yang baik di samping ada pengetahuan khusus – umpamanya, mengenai perubatan atau oil & gas atau teknologi atau seni budaya atau apa saja bidang khusus lain. Selain itu, ia juga perlu ada ilmu mengenai penulisan, contohnya penulisan skrip. Ilmu mengenai penulisan boleh ditimba dengan cara merebut peluang mengikuti kursus atau bengkel penulisan skrin apabila sahaja ia ditawarkan atau melalui tunjuk ajar peribadi. Bila mengikuti kursus, kesedaran peserta akan bertambah selain berpeluang mengasah kemahiran menulis bila membuat kerja latihan dalam kursus. Sebenarnya tiada had bagi seseorang untuk ikuti kursus atau bengkel – kerana bagi setiap kursus yang diikuti, seseorang penulis akan menimba satu kesedaran baru atau satu penemuan baru, yang boleh membantunya menulis lebih baik. Mengenai minat, seseorang yang hendak menjadi penulis seharusnya telah ADA MINAT atau beliau berazam untuk MEMUPUK MINAT – kedua-duanya penting untuk ketahanan diri sebagai penulis. Yang membezakan orang berjaya dengan orang kurang berjaya dalam hal ini ialah MINAT YANG TERUS SEGAR dalam diri penulis. Kalau ada ahli yang ingin mendapatkan bantuan dalam hal ini, SWAM boleh bantu mencarikan individu yang bersedia beri tunjuk-ajar secara peribadi atau personal tutoring. Selepas itu ahli hendaklah terus berusaha sendiri. Selamat maju jaya! ◊

BIDANG TANGGUNGJAWAB AJK SWAM: encik ismail ahmad – hal ehwal korporat, penjenamaan, publisiti | datuk mohd shariff ahmad – buletin swam, laman blog, harta intelek | puan sujiah salleh – pentadbiran, penerbitan | encik shaari wahab – kewangan, dana, tajaan | mejar zainal hayat – pentadbiran, kursus, latihan | cik norrasidah ismail – rekod ahli, yuran | puan asmira suhadis – bantuan kursus | encik ab. rahim hashim – sebaran am, promosi keahlian | tuan haji wazata zain – aktiviti untuk ahli, jom mesra (pitching) | encik m yusoff mohamed – perhubungan stesen penyiaran | encik jaafar samson – jom mesra (pitching), malam anugerah swam, seminar perfileman | puan zalina nordin – jom mesra (pitching santai), promosi keahlian

——————————————————————————————

Maklumbalas, berita atau iklan, hubungi telefon atau sms 0192385577 atau e-mel swambulletin@gmail.com.

12 Comments »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. Mana-mana AJK atau ahli yang hendak bincang atau bertukar fikiran secara santai, boleh datang ke Pej. SWAM pada setiap Sabtu jam 11.00pagi – 1.00t/hari. Bincang santai memang melegakan, banyak faedah. Tak ada pengerusi, tak perlu ada agenda bertulis. Datanglah…

    • Tahniah kerana ada kemahiran menulis. Ahli berpeluang pasarkan karya melalui saluran Persatuan, selain saluran sendiri atau saluran lain. Eloklah sdr mohon jadi ahli untuk tujuan ini. Borang jadi ahli dikirim kpd sdr melalui e-mel. Tk.

    • Khidmat nasihat drp persatuan adalah ditujukan khususnya kpd ahli. Kami tidak pasti keahlian sdr (sama ada ahli atau bukan ahli). Bagaimanapun sdr boleh tentukan sendiri langkah tindakan berdasarkan maklumat yg ada.

  2. Kawan-kawan, sebanyak 14 Buletin SWAM Julai 2009 dulu tak sampai dihantar pos. Pos catat “Alamat Tak Lengkap” atau “Sudah Pindah”. Ahli yang terlibat ialah mereka dgn no. keahlian 014 MUSTAKIN SELAMAT, 031 HABSAH HASSAN, 060 MOHD HAFIZ MAD KHAS, 063 RAMLAH BT AB RAHIM, 065 HJH NORSIDAH HASSAN, 070 SH NOORUL HUDA S HASAN, 080 ZALEHA HJ ISMAIL, 092 MD HIDHIR B MOHAMED, 098 SYAHNIZA ZULKIFLY (MASNIZA), 117 NOR FAZNITA BINTI MD NOR, 119 AIZUL SA’ARI AHMAD SERBANI, 127 RAFIDAH ABDULLAH, 137 MD YADI SAID dan 151 TEE PING. Sesiapa tahu dan jumpa mereka, tolong bagitau… kena kemaskini alamat ni.

  3. Ahli SWAM No. 195, En. Yalal Chin, tidak sihat dan dimasukkan ke Seremban Specialist Hospital (KPJ) Ahad 6/9/09 lepas. Tim. Presiden, S/U Kehormat dan AJK Puan Asmira melawat 8/9/09 dan menyampaikan sedikit derma. Semoga beliau segera sembuh. Drp Datuk Shariff

  4. Saya ingin jadi ahli baru SWAM. Berapa yuran keahlian perlu dibayar?
    Bagaimana nak daftar hasil karya saya dan bayaran dikenakan? Saya juga merupakan graduan dari ASWARA.

    saya pernah menang pertandingan penulisan skrip finas pada 2000. Tapi karya hanya di simpan oleh finas tanpa diterbitkan. Mungkin tiada penerbir yang berminat. Saya ingin mencadangkan supaya karya2 yang tersimpan berkenaan di realisasikan sementara ianya relevan dan rasa dihargai oleh penulis. Sekiranya karya masih kurang kualiti karya di kembalikan kepada penulis dengan di beri komentar oleh panel Finas untuk di perbaiki penulis. Komentar oleh panel dilantik Finas berupa pandangan nasihat untuk meningkatkan kualiti skrip tersebut.
    Skrip yang berjaya di cadangkan diterbitkan pihak yang dilantik Finas. Skrip yang diterbitkan di masukkan ke slot tv atau rancangan realiti tv untuk dinilai penonton melalui sms.Ia dinamakan sebagai Karya Pemenang Hadiah Finas. Para pelakon adalah extra di luar sana atau yang mendaftar sebagai artis di finas.Mereka di beri bayaran untuk berlakon dalam drama(karya)terbabit. Pemenang Juara sehingga tempat ke empat di beri hadiah berupa menulis skrip episod atau berkarya untuk produksi tertentu.Kepada yang kalah menjadi penulis residen.

    Semoga ini bakal menyemarakkan lagi penulis baru negara untuk berkarya dan menghasilkan karya berkualiti pada masa depan.Terima kasih.

    zaiful 017-2442234(sms @call)

  5. Saya berasal dan menetap di Kota Kinabalu, Sabah dan ingin menjadi ahli. Bagaimana caranya dan yuran tahunan? Saya berminat menulis dan karya saya dalam bentuk cerpen pernah tersiar di beberapa akhbar tempatan di Sabah. Kini saya nak beralih kepada penulisan skrip (skrin?) dan ingin mendalami teknik-teknik penulisan skrip atau skrin yang betul. Semoga mendapat bimbingan dari pihak anda. Pernah karya saya di terbitkan dalam bentuk telemovie oleh sebuah penerbit telemovie di Sabah. Saya bercadang hendak membuat skrip semua cerpen-cerpen yang telah saya tulis. Sekian, terimakasih.

    • Tahniah… kami rasa anda memang sudah layak menulis skrip untuk filem atau untuk TV. Borang menjadi ahli akan kami kirimkan melalui e-mel (sebenarnya dalam lamanblog swammalaysia ada pautan untuk muat turun borang menjadi ahli). Anda disaran ikuti kursus penulisan skrip anjuran SWAM, atau mana-mana kursus yg dianjurkan pihak lain, untuk mengetahui teknik menulis skrip.

  6. salam…dalam pertandingan menulis skrip..skrip yg sy pertandingkan itu hrus di daftar dahulu atau pun tidak? sebelum sy menyertai pertandingan itu….t.kasih..

    • Sehingga Mei 2010, SWAM belum anjurkan pertandingan menulis skrip bagi 2010. Tidak jelas sama ada anda maksudkan pertandingan anjuran SWAM atau pihak lain. Walau apa pun, pendaftaran karya tidak atau belum dijadikan syarat untuk menyertai pertandingan. Kalau anda belum menjadi ahli SWAM, eloklah buat permohonan. Mendaftarkan karya hanya RM10.00 bagi ahli (RM50.00 bagi bukan ahli).

  7. saya berpengalaman menulis skrip drama radio dan kini sedang berusaha untuk memulakan penulisan skrip untuk tv. bolehkah saya memohon menjadi ahli SWAM alaupun belum ada karya saya disiarkan oleh mana-mana stesen tv. moohon penjelasan.

    • Perhatian: Laman ini dikendalikan secara sukarela. Ini bukan laman rasmi persatuan. Menjawab soalan, sesiapa pun boleh memohon menjadi ahli – terpulang kepada persatuan untuk menerima. Biasanya persatuan menganjurkan kursus kepada orang baru (dan orang lama).


Leave a reply to Jerome Akim Cancel reply

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.